Penerbit atau penerbitan adalah industri yang mengeluarkan dan memperbanyakkan sesebuah literatur dan informasi- atau aktivit-aktivit yang menawarkan informasi yang terkini serta dapat dimanfaatkan oleh publik.
Penerbit dari sistem penerbitannya dibezakan sebagai penerbitan umum (konvensional) dan juga penerbitan dengan sistem sendirian dimana penulis sebagai penerbitnya.
Secara tradisional, istilah ini membawa kepada usaha pengedaran dalam usaha percetakan seperti buku sama ada ilmiah atau tidak dan surat kabar. Dengan perkembangan sistem teknologi informasi, istilah penerbitan membawa makna yang meluas, dimana memasukkan unsur-unsur buku elektronik, seperti e-book dalam sebuah website ataupun blog.
Dalam perkembangannya, penerbit buku memiliki segmen pasar tersendiri. Ada buku umum, bukpel (buku pelajaran), maupun buku-buku agama, contohnya buku Islami, buku rohani, dan sebagainya.
Apa Itu Penerbitan?
Mengikut kamus dewan terbitan DBP, penerbitan berasal dari perkataan terbit yang bermaksud keluar atau sebar. Penerbitan membawa makna sebarang penyebaran dan pengeluaran maklumat untuk disampaikan kepada umum. Perlulah diingatkan bahawa penerbitan hanyalah merujuk kepada penyebaran maklumat sahaja dan bukannya perkara-perkara lain.
Penerbitan secara kasar terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu:
1. Bahan bertulis seperti majalah, akhbar, makalah, artikel, buletin dan sebagainya. Malah boleh juga dianggap sebagai penerbitan bertulis ialah artikel-artikel yang disebarluaskan melalui alam maya. Berpuluh-puluh ribu laman web yang dibina sejak akhir-akhir ini bagi menyebarkan segala jenis maklumat atau pendirian tentang apa-apa isu menunjukkan bahawa penerbitan jenis ini semakin diterima dan diguna secara meluas oleh masyarakat.
2. Bahan eletronik seperti siaran televisyen, e-book, e-journal, website, radio dan juga penyebaran maklumat melalui kaset, video dan cakera padat. Ia melibatkan program-program seperti berita, dokumentari, filem, drama, ceramah, lagu dan sebagainya.
Dengan tidak menafikan adanya bahan-bahan penerbitan yang terkeluar dari kedua-dua kategori di atas, penulis berpendapat bahawa kedua-dua kategori di atas adalah mewakili sebahagian besar dari kaedah penerbitan di dunia pada hari ini.
Dalam membicarakan apa-apa saja topik, kita tidak mungkin dapat memisahkan diri dari memperkatakan tentang pandangan Islam. Apatah lagi sebagai seorang muslim yang meyakini bahawa Islam bukan setakat adat budaya tetapi cara hidup yang memagari kehidupan manusia.
Di dalam Islam, penerbitan atau apa-apa jua kaedah yang wujud yang berupaya untuk menyebarluaskan dakwah tidak diharamkan malah digalakkan kepada orang Islam untuk menguasainya.
Sejarah awal Islam juga menunjukkan bagaiman Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja sekitar tanah Arab supaya memeluk Islam di mana pada surat tersebut termaktub seruan dakwah dan penjelasan ringkas tentang Islam. Begitu juga apabila para sahabat yang dianggap sebagai petunjuk selepas Rasulullah SAW telah mengambil langkah untuk menulis dan mengumpulkan semula Al-Quran di dalam satu mushaf. Sejarah juga mencatatkan kewujudan sahabat-sahabat yang dianggap sebagai ahli sastera mencipta syair-syair untuk mempertahankan Islam. Malah, tidak salah jika disebut pengumpulan dan penulisan hadis yang dipelopori oleh ulama-ulama hadis terkemuka telah banyak menyelamatkan akidah manusia dan umat Islam. Bayangkan seandainya bidang penerbitan khususnya penulisan tidak diendahkan oleh para ulama pada masa tersebut!
Dalam erti kata lain, penerbitan secara umumnya boleh digunakan sebagai salah satu wasilah dakwah kepada manusia. Menurut kaedah usul fiqh, apa-apa saja yang wajib yang tidak sempurna kecuali dengannya turut dianggap wajib. Menyampaikan dakwah dan menegakkan amar makruf nahi munkar adalah satu kewajipan, maka seandainya penerbitan adalah satu kelengkapan kepada dakwah, dengan sendirinya menguasai bidang penerbitan menjadi satu kewajipan kepada umat Islam.
Di zaman ketika masih belum wujudnya sebarang kaedah penerbitan, mungkin manusia tidak memerlukan kemahiran di dalam bidang ini, apatah lagi tidak manusia yang mengendahkan sebarang perkembangan maklumat terkini tentang apa-apa isu sekalipun. Manusia pada zaman awal tentunya menganggap agenda untuk hidup melebihi segala-galana. Apa yang paling penting untuk difikirkan pada hari ini ialah apakah yang akan dimakan esok hari!
Namun keadaan hari ini jauh berubah daripada kelmarin. Pertembungan budaya, tamadun dan ideologi dari timur ke barat mengakibatkan persaingan yang tidak putus-putus. Barat selepas zaman gelap (dark age) adalah Barat yang mempunyai nilai-nilai positif yang seharusnya dimiliki oleh umat Islam. Mereka bangun dari tidur dan terus mencipta pelbagai kemajuan mengatasi apa yang asalnya dimiliki oleh umat Islam. Akhirnya, penguasaan maklumat oleh barat menghasilkan kebergantungan ketara umat Islam terhadap mereka samada dari sudut teknologi, tamadun, budaya dan juga maklumat. Cengkaman yang begitu hebat media masa barat terhadap pemikiran penduduk dunia membuktikan kewujudan senario ini. CNN dan ABC sebagai contoh adalah dua rangkaian media barat yang menjadi lambang keagungan penguasaan mereka terhadap maklumat.
Ledakan teknologi maklumat sejak akhir-akhir ini khususnya apabila penggunaan internet semakin meluas semakin mendesak umat Islam supaya turut serta di dalam perkembangan ini. Terlalu banyak perkara yang harus dilakukan oleh kita di dalam bidang penerbitan, antaranya :
1. Menghasilkan artikel-artikel yang boleh menjawab segala macam bentuk tuduhan dan fitnah busuk terhadap Islam.
2. Membina rangkaian media yang mampu memberikan maklumat alternatif kepada umat Islam.
3. Menghasilkan satu budaya hiburan yang benar-benar berteraskan Islam. Ia diharapkan mampu menjadi hiburan alternatif khususnya kepada remaja-remaja.
4. Menerbitkan buku, majalah, akhbar, makalah dan buletin yang mampu mengetengahkan persoalan-persoalan menarik khususnya kepada golongan sasaran.
5. Sentiasa sensitif terhadap perkembangan dunia penerbitan semasa samada bersifat negatif atau positif. Kepekaan ini membolehkan kita menyelamatkan keadaan.
Andainya disebut satu persatu peranan yang sepatutnya dimainkan oleh golongan yang mempunyai kesedaran, tentunya ruang ini tidak akan mencukupi. Apa yang penting ialah kita perlu menyedari bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dalam menguasai dunia penerbitan sebagai salah satu wasilah amar makruf nahi munkar. Semoga setiap usaha ini walaupun kecil dikira sebagai satu sumbangan terhadap perjuangan Islam, Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment